tasbih Pictures, Images and Photos

26 October 2008

Sifat Mukmin Sejati


Dalam al-Quran mahupun hadith banyak diungkapkan sifat orang yang beriman. Antaranya ialah:

Pertama: Mempunyai iman yang teguh, cita-cita luhur yang, sentiasa mengerjakan kebajikan, selalu dalam perjuangan, tidak melakukan kejahatan, sabar dan menunjukkan peribadi yang baik. Apabila ditimpa musibah dia sabar. Jika mendapat nikmat dia bersyukur. Dalam hidupnya sentiasa terbayang kedamaian. Hal inilah yang digambarkan oleh Allah bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan perbuatan-perbuatan yang baik, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan dia beriman, nescaya Kami beri kepadanya kehidupan yang baik (Thayyibah) dan Kami berikan kepadanya balasan (pahala) yang lebih baik dari kebaikan yang telah mereka kerjakan." (Surah an-Nahli:97)

Kehidupan 'Thayyibah' mencakupi segala bentuk kenikmatan baik yang bersifat jasmaniah mahupun rohaniah baik dalam kehidupan di dunia ini, mahupun di akhirat.

Kedua: Sentiasa berbuat baik untuk dirinya sendiri mahupun terhadap orang lain. Islam telah melarang melakukan kerosakan, baik terhadap peribadi mahupun masyarakat umpamanya berzina, berjudi, meminum minuman keras dan sebagainya. Orang yang lemah imannya tidak mampu mengendalikan diri terhadap larangan-larangan tersebut, walaupun ia sedar akibatnya. Mukmin yang kuat imannya sentiasa menghindarkan perbuatan-perbuatan yang merugikan terhadap dirinya dan orang lain.

Ketiga: Orang mukmin hanya meminta pertolongan daripada Allah. Dalam menghadapi sesuatu kesulitan, orang yang lemah imannya selalu gelisah. Dia mencari pertolongan kepada sesiapa saja yang dianggapnya dapat meringankan kesulitan yang dideritainya itu, walaupun pertolongan itu sifatnya hanya sebagai sementara sahaja. Mukmin yang sejati hanyalah meminta pertolongan kepada Allah. Ia memohon terus kepada Allah, tanpa ada perantaraan orang lain

Keempat: Mukmin sejati tidak bersikap lemah sama ada fizikal ataupun tubuh badan. Rohaniah dan semangatnya kental dan tidak dipatahkan sekalipun jiwanya terancam dan terkorban.

Orang beriman mempunyai pengharapan dan optimis. Ia tidak mudah menyerah kalah. Ia percaya bahawa setiap perbuatan yang baik akan diberi pahala dan ini memberi semangat kepadanya untuk berusaha.

Kelima: Mukmin tidak menyesali dengan keadaan dirinya. Dalam kehidupan ini, manusia silih berganti bertemu dengan kesenangan dan kesusahan, kekayaan dan kemiskinan, kemenangan dan kekalahan, berjaya dan gagal juga sebagainya.

Di waktu bertemu dengan kesusahan, janganlah mengeluh menyesali keadaan, dengan mengatakan seumpama "Kalau dahulu saya berbuat begitu, tentulah saya tidak ditimpa musibah ini." Penyesalan terhadap diri dan tindakan sendiri dengan mempergunakan kata-kata "kalau" itu adalah satu sikap yang dimasuki oleh syaitan sehingga tidak akan membawa penyesalan kecuali hanya keruntuhan jiwa dan fikiran sahaja.

Tetapi pada saat menghadapi kekecewaan itu, katakanlah kepada diri sendiri, "Ini adalah takdir Allah bagiku. Saya sudah berusaha dan berjuang, tetapi masih belum berhasil. Saya akan mencuba lagi, bangkit sesudah jatuh dan akan bangkit lagi sehinggalah mendapat kejayaan yang cemerlang." Maka sehubungan dengan itu setiap muslim haruslah berusaha menjadi seorang mukmin sejati dengan mengambil sifat-sifat utama sebagaimana yang diperkatakan sebentar tadi, mudah-mudahan kita sentiasa dalam rahmat dan keredhaan Allah dunia dan juga akhirat.


0 comments: