tasbih Pictures, Images and Photos

31 October 2008

Pengajaran Dari Cicak

Anda tahu cicak? Tentu sahaja tahu kan, hampir disetiap rumah ada cicak
. Cicak mempunyai keistimewaan boleh berjalan di siling rumah dengan
badan terbalik, tetapi bukan itu yang ingin saya lihat pada ketika ini,
justeru yang akan saya tonjolkan ialah "kelemahan" cicak yang tidak boleh
terbang, sementara makanan cicak boleh terbang.
Dari sini dapat kita ambil pelajaran, meskipun cicak tidak
boleh terbang tetapi mereka masih dapat memakan nyamuk. Ini menunjukkan

bahawa cicak sudah di atur rezekinya oleh Allah.
"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)." Q.S Hud :
6 Begitu juga manusia dan makhluk yang lainnya. Allah telah

menetapkan rezekinya masing-masing.
"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan
untuk menjadi makanan bagi kamu dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya)." Q.S Ibrahim : 32
Rezeki adalah pemberian Allah, bukan dari tempat anda bekerja sekarang, bukan dari bisnes anda, bukan dari simpanan anda. Semua itu hanyalah perantaraan anda mendapatkan rezeki, kerana memang Allah yang memerintahkan kita untuk mencari rezeki tentu sahaja dengan berbagaiperantaraan.

"Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dia juga
yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam PengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-
hambaNya." Q.S Al-Israa' : 30
Seberapa besarnya gaji anda, jika Allah telah menetapkan bahawa itu

bukan rezeki anda, maka itu mudah bagi Allah. Mungkin sahaja rezeki
itu menjadi rezeki doktor yang mengubati penyakit anda. Mungkin
sahaja semua gaji anda habis dirompak dan berbagai kemungkinan lainnya. Bahkan makanan yang tinggal sedikit yang bakal disuap kemulut anda masih boleh jatuh menjadi rezekinya semut.
Meskipun rezeki sudah di atur oleh Allah, tetapi kita tetap dituntut untuk berusaha sendiri. Cicakpun berusaha, mendekati tempat terang dimana di sana banyak nyamuk.

"(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui." Q.S Al-Anfaal : 53

Wallahua'lam bisshawab

26 October 2008

Sifat Mukmin Sejati


Dalam al-Quran mahupun hadith banyak diungkapkan sifat orang yang beriman. Antaranya ialah:

Pertama: Mempunyai iman yang teguh, cita-cita luhur yang, sentiasa mengerjakan kebajikan, selalu dalam perjuangan, tidak melakukan kejahatan, sabar dan menunjukkan peribadi yang baik. Apabila ditimpa musibah dia sabar. Jika mendapat nikmat dia bersyukur. Dalam hidupnya sentiasa terbayang kedamaian. Hal inilah yang digambarkan oleh Allah bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan perbuatan-perbuatan yang baik, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan dia beriman, nescaya Kami beri kepadanya kehidupan yang baik (Thayyibah) dan Kami berikan kepadanya balasan (pahala) yang lebih baik dari kebaikan yang telah mereka kerjakan." (Surah an-Nahli:97)

Kehidupan 'Thayyibah' mencakupi segala bentuk kenikmatan baik yang bersifat jasmaniah mahupun rohaniah baik dalam kehidupan di dunia ini, mahupun di akhirat.

Kedua: Sentiasa berbuat baik untuk dirinya sendiri mahupun terhadap orang lain. Islam telah melarang melakukan kerosakan, baik terhadap peribadi mahupun masyarakat umpamanya berzina, berjudi, meminum minuman keras dan sebagainya. Orang yang lemah imannya tidak mampu mengendalikan diri terhadap larangan-larangan tersebut, walaupun ia sedar akibatnya. Mukmin yang kuat imannya sentiasa menghindarkan perbuatan-perbuatan yang merugikan terhadap dirinya dan orang lain.

Ketiga: Orang mukmin hanya meminta pertolongan daripada Allah. Dalam menghadapi sesuatu kesulitan, orang yang lemah imannya selalu gelisah. Dia mencari pertolongan kepada sesiapa saja yang dianggapnya dapat meringankan kesulitan yang dideritainya itu, walaupun pertolongan itu sifatnya hanya sebagai sementara sahaja. Mukmin yang sejati hanyalah meminta pertolongan kepada Allah. Ia memohon terus kepada Allah, tanpa ada perantaraan orang lain

Keempat: Mukmin sejati tidak bersikap lemah sama ada fizikal ataupun tubuh badan. Rohaniah dan semangatnya kental dan tidak dipatahkan sekalipun jiwanya terancam dan terkorban.

Orang beriman mempunyai pengharapan dan optimis. Ia tidak mudah menyerah kalah. Ia percaya bahawa setiap perbuatan yang baik akan diberi pahala dan ini memberi semangat kepadanya untuk berusaha.

Kelima: Mukmin tidak menyesali dengan keadaan dirinya. Dalam kehidupan ini, manusia silih berganti bertemu dengan kesenangan dan kesusahan, kekayaan dan kemiskinan, kemenangan dan kekalahan, berjaya dan gagal juga sebagainya.

Di waktu bertemu dengan kesusahan, janganlah mengeluh menyesali keadaan, dengan mengatakan seumpama "Kalau dahulu saya berbuat begitu, tentulah saya tidak ditimpa musibah ini." Penyesalan terhadap diri dan tindakan sendiri dengan mempergunakan kata-kata "kalau" itu adalah satu sikap yang dimasuki oleh syaitan sehingga tidak akan membawa penyesalan kecuali hanya keruntuhan jiwa dan fikiran sahaja.

Tetapi pada saat menghadapi kekecewaan itu, katakanlah kepada diri sendiri, "Ini adalah takdir Allah bagiku. Saya sudah berusaha dan berjuang, tetapi masih belum berhasil. Saya akan mencuba lagi, bangkit sesudah jatuh dan akan bangkit lagi sehinggalah mendapat kejayaan yang cemerlang." Maka sehubungan dengan itu setiap muslim haruslah berusaha menjadi seorang mukmin sejati dengan mengambil sifat-sifat utama sebagaimana yang diperkatakan sebentar tadi, mudah-mudahan kita sentiasa dalam rahmat dan keredhaan Allah dunia dan juga akhirat.