tasbih Pictures, Images and Photos

17 September 2008

BERKAT BANGUN SAHUR


"SAMBUTLAH Ramadan dengan hati terbuka, seperti ketibaan orang yang kita cinta". Ungkapan tersebut memberi seribu erti bagi kita yang dapat merungkai erti sebenar bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan berkat yang amat besar fadhilatnya jika kita menghayati erti Ramadan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada umat-Nya. Umat Islam hendaklah berebut-rebut melakukan sebanyak mungkin amalan kerana amalan yang baik itu, pasti ada ganjarannya. Antara amalan-amalan bulan Ramadan ialah solat terawih berjemaah di surau atau masjid, mengurangkan tidur, banyakkan bersedekah, dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga dengan amalan bersahur yang begitu sinonim dengan bulan Ramadan. Namun begitu, amalan ini tidak begitu diendahkan oleh segelintir masyarakat kita khususnya anak muda hari ini. Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w bersabda: "Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t berselawat ke atas orang-orang yang bersahur." Sahur dapatlah diklasifikasikan sebagai makan selepas waktu tengah malam atau dinihari sebelum terbit fajar. Hukumnya adalah sunat. Bagaimanapun, waktu yang sesuai ialah selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum waktu Subuh. Persoalannya, mengapa agaknya ada dalam kalangan kita lebih gemar bersahur sebelum tidur dan liat untuk bangun sahur pada awal pagi? Apa yang cuba diterjemahkan oleh anak-anak muda ini dengan menganggap sahur mereka adalah makan sebelum tidur? Sebenarnya, waktu bersahur itu bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam dan berlarutan sehingga sebelum terbit fajar. Oleh yang demikian, orang yang makan sebelum masuk waktu pertengahan malam tidaklah dia dikatakan bersahur tetapi dia cuma makan biasa saja dan tidak ada pahala baginya bersahur. Sahur bekal tenaga Apabila kita bersahur, kita akan mendapat sedikit tenaga untuk menjalani ibadah puasa. Melambatkan sahur adalah sunat sehingga hampir waktu fajar iaitu kira-kira pada kadar membaca 50 ayat suci al-Quran sebelum terbit fajar. Di antara tujuannya ialah bagi memendekkan masa untuk menahan diri daripada kelaparan dan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Adalah diingatkan bahawa makanan yang dimakan ketika bersahur biarlah sesuai dan sederhana mengikut kemampuan masing-masing. Tidak perlu makan terlalu banyak. Tetapi, jika dilihat kepada tradisi masyarakat hari ini, menyediakan makan untuk sahur seperti menyediakan lauk ketika hendak berbuka. Tidak salah untuk makan dengan kuantiti yang banyak kerana sesetengah individu berpendapat apabila kita makan banyak, kita tidak akan cepat lapar. Hakikatnya, terpulang kepada individu untuk makan sebanyak mana yang diinginkan. Yang penting, kelebihan bersahur tidak dilupakan. Namun begitu, tidak ramai yang mengikut amalan Rasullullah s.a.w yang mana bersahur dengan sebiji kurma dan segelas air pun sudah mencukupi kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda, jika terdapat buah kurma (tamar) maka itu adalah lebih baik kerana itu adalah makanan orang yang beriman. Namun begitu, hari ini menyaksikan semakin ramai khususnya anak muda tidak gemar atau tidak suka bangun awal pagi untuk bersahur. Bagi anak-anak muda di rumah, apabila ibu atau bapa mengejutkan mereka untuk bersahur, pasti liat untuk mereka bangun. Tidak cukup dengan itu, ada yang berpesan kepada ibu bapa supaya tidak bersusah payah mengejutkan mereka dan pelbagai alasan diberikan. Contohnya, tidak lapar, mengantuk, sudah makan dan sebagainya. Akhirnya, mereka akan tidur sampai ke pagi.
Anggap sahur remeh Mereka menganggap sahur adalah perkara yang remeh-temeh dan bukanlah menjadi persoalan yang terlalu besar jika tidak bangun bersahur. Ingatlah bahawa Allah s.w.t mengurniakan bulan rahmat ini setahun sekali. Kita perlulah menghargainya dan mengambil peluang ini untuk mengutip sebanyak mungkin pahala. Situasi sekarang ialah anak-anak muda lebih gemar makan sebelum tidur. Mereka akan makan sekitar waktu 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi yang dianggap waktu ideal untuk bersahur, sedangkan Allah s.w.t menggalakkan umatnya bersahur apabila sudah sampai waktu imsak. Adalah digalakkan menutup sahur dengan minuman bersusu dan elakkan makanan pedas untuk mengelakkan makanan tidak hadam. Akan tetapi, anak muda zaman sekarang 'lebih bijak' dengan bersahur sebelum tidur. Ada sesetengah mereka yang makan dengan banyak pada tengah malam walhal semasa berbuka tadi, sudah banyak makanan yang dihabiskan. Tidakkah mereka tahu apabila makan dengan banyak, mereka akan menjadi lebih letih dan penat? Renung-renungkanlah. Makan tanpa henti akan menyebabkan perut tidak berasa selesa dan akan mengundang penyakit lain seperti sakit perut dan sebagainya. Perut kita bukanlah seperti robot yang perlu disuruh bekerja setiap masa. Ia juga perlu berehat. Oleh kerana itulah, kita disuruh bersahur awal pagi dan bukannya di tengah-tengah malam seperti yang dilakukan oleh sesetengah anak muda sekarang. Sikap tersebut perlu diubah kerana makan di tengah malam tidak digalakkan kerana tidak baik untuk kesihatan. Umumnya, masyarakat kita sudah biasa dengan situasi di mana selepas makan, pasti akan mengantuk. Maka, di mana keberkatan bulan Ramadan yang kita cuba lengkapkan apabila kita lena dibuai mimpi daripada bangun di tengah malam untuk beribadah kepada Allah? Fikir-fikirkanlah. Latih anak bersahur Sebagai individu yang lebih dewasa, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak mereka bahawa amalan bersahur sangat penting dan perlu dilakukan pada waktu yang betul, bukan makan sebelum tidur. Banyak keberkatan yang boleh didapati daripada amalan bersahur. Antaranya ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Ia juga memberi kekuatan untuk beribadat dan kecerdasan kepada orang yang berpuasa bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga di siang hari. Berdoa pada waktu sahur juga mempunyai barakah kerana pada waktu itu, rahmat turun dan doa terangkat sekali gus menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan berlapar di siang hari, selain memberi kekuatan beribadat pada siang hari dan pelbagai lagi. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghidupkan bulan yang penuh dengan kemuliaan ini dengan bersahur. Selain itu, ini adalah peluang terbaik bagi kita melatih diri bangun pada awal pagi kerana pada bulan biasa, kita akan terus tidur sampai ke subuh. Di samping itu, bagi orang yang bangun sahur, mereka tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk melakukan amal-amal saleh seperti berzikir, membaca al-Qur'an dan bersembahyang sunat tahajud dan sunat witir. Ambillah peluang ini untuk mengubah dan memperbaiki diri. Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita insan yang bertakwa di sisi-Nya.

0 comments: