tasbih Pictures, Images and Photos

19 August 2008

Pejuang-pejuang Allah yang ku kagumi..

Assalamu’alaikum wrt..

Wahai pejuang agama Allah yang kukagumi,

Siapalah diriku untuk mencoret warkah nasihat padamu kerana aku insan lemah,jahil ilmu malah kurang amalanku berbanding dirimu, wahai Adam..Aku hanyalah Hawa yang lemah fizikalnya berbandingmu, kurang pendekatanku pada Rabb Agung, malah peminjam rusuk kirimu yang aku dapat rasakan makin hilang lurusnya.Suatu ketika, bicaramu lantang berhujah tentang Islam, agama Allah.gerakmu laju menuju rumah Allah,nasihatmu berbutir hikmah ,kepimpinanmu terserlah, terselit tegasnya..Aku amat mengagumi dalam diam, hatiku tenang, mataku bersinar,dan aku jua punya roh yang kuat dan cekal..Aku begitu yakin, engkau bakal dilahirkan sebagai pemimpin yang punya nilai-nilai deen, engkau akan melahirkan lebih ramai generasi-generasi al-Quran dengan semangat juangmu, engkau jentera penggerak dakwah Islamiyyah, engkau pentarbiyyah,murobbi ummah..engkau, engkau, engkau dan engkau yang sentiasa berusaha mencegah mungkar di kala ummah makin hilang moral, iman dan aqidah..engkau yang bergerak dalam jemaah, tak pernah putus asa menyahut seruan jihad fi sabilillah,engkau bakal menjadi penyelamat dan penasihat Hawa yang makin hari makin hilang serinya..engkau peneraju sirah Rasulullah, terus membimbing di kala ummah hilang arah tuju…Betapa besarnya harapan kusaat itu!!

Pertanyaan demi pertanyaan, menimbulkan konflik diri.Terpaan hidayah dari Penciptakah atau ia ujian untukku?Aku sangsi. Pada pancaindera sendiri? Tidak. Aku bukan separa sedar atau bermimpi.Sedaya aku nafikan kebenarannya kerana aku yakin padamu. Pada agamamu..Secara tiba-tiba,tanpa dipaksa berlinang air mata,kerana biar puas kunafi,tetap jua hilang dan punah harapan yang pernah tersimpan.. Mengenangkan dirimu dan sahabat seperjuangan yang hilang pedoman dan arah tuju dalam perjuangan.. Kerana CINTA, terlalai dan terleka.. Makin aku fikir sedalamnya wajarkah atau halalkah CINTA yang engkau bina?Ataupun aku yang tersalah pegangan? Kembali kuimbau sejarah dan sirah, kembali kutadabbur warkah cinta Ilahi, tiada yang halal bagimu melainkan jalan yang syarie,iaitu PEKAHWINAN..

Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah).

Pipiku terus lencun disiram mutiara kesal,bimbang kelak tiada lagi generasi ISLAM yang bakal terlahir..sungguh, diriku bimbang! Aku bimbang sahabat…kelak, akan lahir para da’ie yang mentarbiyyah adalah dari benih yang tidak berkualiti, kerana sesungguhnya ternyata di akhir zaman orang yang akan memimpin, hanyalah golongan juhala’ yang langsung tidak mengenal agama.Andai kau yang kukenal dulu,penuh berwibawa dalam memimpin,makin menyimpang arah tuju dan makin hilang bayangmu dari jalan perjuanganmu,siapa lagi yang bakal meneruskan aksara perjuangan Rasulullah?Aku bimbang wahai AL-AMIR, orang-orang yang mentarbiyyah adalah dalam kalangan orang-orang yang makin kelam hatinya..Yang luaran berkopiah, berserban, namun di belakang tabir, penuh dengan noda yang tidak disucikan.Mungkinkah seorang yang berhati kelam akan menyucikan hati-hati kelam yang lain?Aku menangis lagi..

Pejuang yang kuharapkan,pejuang harapan ummah,

Sedarilah syaitan dan iblis itu punya rencananya sendiri.. Yang jelas dan terang haramnya,disamarkan agar minda dan fikiranmu membenarkan dan menghalalkan segala yang haram..Jelas terang, engkau pemuda yang punya benih agama dalam diri, generasi penterjemah al-Quran, pendakwah yang bakal mentarbiyyah seantero ummah, sedarlah sesungguhnya makin kuat dirimu mendekati Pencipta, makin kuat syaitan yang datang menghasut.Makin kreatif mereka mencipta rencana, membuatkan dirimu leka dengan perjuanganmu.Celiklah, wahai pejuang harapan.. kadangkala, dalam menghalalkan hubungan,secara tanpa sedar, AGAMA telah engkau pergunakan sebagai pengantara engkau dan dia..tazkirah ringkas, kata-kata hikmah dihulur, sebagai tazkiyatunnafs..qiyam suci dan murni yang selayaknya untuk Allah sebagai pengantara di pagi hari..liqa’ dan syuro sebagai wasilah antara engkau dengannya.. Betapa kreatif syaitan menjadikannya istimewa, menutup khilafmu..aku bimbang makin kelamlah hatimu nanti,wahai pejuang..!!Aku menangis lagi..

Diriku menyedari hakikat fitrah yang engkau lalui..Diriku jua manusia yang punya hati dan perasaan, punya jiwa kurniaan Allah yang terisi dengan mahabbah,cinta jua rindu..

Ketahuilah wahai imam masa depan, ISLAM langsung tidak membunuh naluri CINTA yang engkau miliki.Indahnya ISLAM,menjaga hubungan yang tercipta antara ar-rijal dan al-marah.. menjadikannya terlalu seni dan cantik, hanya dengan jalan yang suci dan diredhai..Indahnya ISLAM, telitinya ia menjaga soal keturunan dan kesucian.. indahnya CINTA dan maruah yang dipelihara…

Allah berfirman:

“Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan
perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.

(SurahAn-Nur: 3)

Kita manusia lemah,wahai mujahid harapan.. diujinya dengan ujian CINTA, sebagai bukti kasihNya.. menguji tahap keimanan dan tahap cinta kepadaNya.. Antara cinta Ilahi dan cinta insani, mana yang lebih engkau dahului?Bangkitlah pejuang agama Allah, dan sedarlah kasih sayangNya yang tidak bertepi..buatmu pemelihara cinta, yang menahan hawa nafsu daripada terus bermaharajalela, digantikan dengan gelaran “syahid” andai engkau ditakdirkan “pergi” dalam keadaan menahan cintamu..Dia berkata lagi,

“Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina),Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar..”

(SurahAl-Ahzab: 35 )

Wahai Adam,pelindung dan pentarbiyyah..

Diriku menyedari hakikat kejadian penciptaan kaummu, yang kaumku pelemah imanmu..Imbauan sejarah jua menyaksikan prestasi kepahlawanan para pejuang tidak terlepas dari pengaruh cintanya seorang pemuda kepada pemudi.Namun, dengan kekuatan iman Umar bin Abdul Aziz berhasil memenangkan pertarungan cinta sucinya kepada Allah dari pada cinta tidak bertuannya kepada seorang gadis. Tidak ada yang salah pada cinta,cuma tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya.Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu…kutahu itu!!

Duhai ADAM,mujahid harapan,

Betapa Allah mengasihimu,aku sangat meyakininya..dengarkanlah bicaraNya..hayatilah maknanya..

“Wahai orang-orang mukmin, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha..” (At-Tahrim:8 )

KekasihNya jua bersabda:

“Orang yang bertaubat dari dosa, bagaikan orang yang tidak berdosa..”

Kulorekkan mata pena dihelaian ini walau kutahu takkan hadir ia ke tanganmu kecuali dengan takdirNya.Kucuba menyucikan niat dan hati yang kotor ini agar bicara ini mampu terkesan di hatimu..Aku hanya mengenal nilai usaha, kerana selebihnya hidayah Pencipta.Justeru ketahuilah ini doaku buatmu..Betapa kuharap hatimu terbuka,mengenal jalan syariat.. Kembalilah untuk Islam yang amat-amat memerlukanmu.Membaja pepohon harapan untuk melihat engkau kembali cemerlang dinaungi Islam. Gemerlap sinarmu. Jangan Islam hilang sebutir permata di jalan sia-sia. Janganlah kau hilang di lembah berlumpur wahai al-qaid, wahai al-amir..

” boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu,
dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,padahal ia amat buruk bagimu,
Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah ayat 126)

” dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang;
dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang2 yang khusyuk “

(Al-Baqarah ayat 45)

0 comments: