tasbih Pictures, Images and Photos

17 September 2008

BERKAT BANGUN SAHUR


"SAMBUTLAH Ramadan dengan hati terbuka, seperti ketibaan orang yang kita cinta". Ungkapan tersebut memberi seribu erti bagi kita yang dapat merungkai erti sebenar bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah bulan berkat yang amat besar fadhilatnya jika kita menghayati erti Ramadan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada umat-Nya. Umat Islam hendaklah berebut-rebut melakukan sebanyak mungkin amalan kerana amalan yang baik itu, pasti ada ganjarannya. Antara amalan-amalan bulan Ramadan ialah solat terawih berjemaah di surau atau masjid, mengurangkan tidur, banyakkan bersedekah, dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga dengan amalan bersahur yang begitu sinonim dengan bulan Ramadan. Namun begitu, amalan ini tidak begitu diendahkan oleh segelintir masyarakat kita khususnya anak muda hari ini. Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w bersabda: "Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t berselawat ke atas orang-orang yang bersahur." Sahur dapatlah diklasifikasikan sebagai makan selepas waktu tengah malam atau dinihari sebelum terbit fajar. Hukumnya adalah sunat. Bagaimanapun, waktu yang sesuai ialah selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum waktu Subuh. Persoalannya, mengapa agaknya ada dalam kalangan kita lebih gemar bersahur sebelum tidur dan liat untuk bangun sahur pada awal pagi? Apa yang cuba diterjemahkan oleh anak-anak muda ini dengan menganggap sahur mereka adalah makan sebelum tidur? Sebenarnya, waktu bersahur itu bermula sebaik sahaja masuk waktu pertengahan malam dan berlarutan sehingga sebelum terbit fajar. Oleh yang demikian, orang yang makan sebelum masuk waktu pertengahan malam tidaklah dia dikatakan bersahur tetapi dia cuma makan biasa saja dan tidak ada pahala baginya bersahur. Sahur bekal tenaga Apabila kita bersahur, kita akan mendapat sedikit tenaga untuk menjalani ibadah puasa. Melambatkan sahur adalah sunat sehingga hampir waktu fajar iaitu kira-kira pada kadar membaca 50 ayat suci al-Quran sebelum terbit fajar. Di antara tujuannya ialah bagi memendekkan masa untuk menahan diri daripada kelaparan dan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Adalah diingatkan bahawa makanan yang dimakan ketika bersahur biarlah sesuai dan sederhana mengikut kemampuan masing-masing. Tidak perlu makan terlalu banyak. Tetapi, jika dilihat kepada tradisi masyarakat hari ini, menyediakan makan untuk sahur seperti menyediakan lauk ketika hendak berbuka. Tidak salah untuk makan dengan kuantiti yang banyak kerana sesetengah individu berpendapat apabila kita makan banyak, kita tidak akan cepat lapar. Hakikatnya, terpulang kepada individu untuk makan sebanyak mana yang diinginkan. Yang penting, kelebihan bersahur tidak dilupakan. Namun begitu, tidak ramai yang mengikut amalan Rasullullah s.a.w yang mana bersahur dengan sebiji kurma dan segelas air pun sudah mencukupi kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda, jika terdapat buah kurma (tamar) maka itu adalah lebih baik kerana itu adalah makanan orang yang beriman. Namun begitu, hari ini menyaksikan semakin ramai khususnya anak muda tidak gemar atau tidak suka bangun awal pagi untuk bersahur. Bagi anak-anak muda di rumah, apabila ibu atau bapa mengejutkan mereka untuk bersahur, pasti liat untuk mereka bangun. Tidak cukup dengan itu, ada yang berpesan kepada ibu bapa supaya tidak bersusah payah mengejutkan mereka dan pelbagai alasan diberikan. Contohnya, tidak lapar, mengantuk, sudah makan dan sebagainya. Akhirnya, mereka akan tidur sampai ke pagi.
Anggap sahur remeh Mereka menganggap sahur adalah perkara yang remeh-temeh dan bukanlah menjadi persoalan yang terlalu besar jika tidak bangun bersahur. Ingatlah bahawa Allah s.w.t mengurniakan bulan rahmat ini setahun sekali. Kita perlulah menghargainya dan mengambil peluang ini untuk mengutip sebanyak mungkin pahala. Situasi sekarang ialah anak-anak muda lebih gemar makan sebelum tidur. Mereka akan makan sekitar waktu 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi yang dianggap waktu ideal untuk bersahur, sedangkan Allah s.w.t menggalakkan umatnya bersahur apabila sudah sampai waktu imsak. Adalah digalakkan menutup sahur dengan minuman bersusu dan elakkan makanan pedas untuk mengelakkan makanan tidak hadam. Akan tetapi, anak muda zaman sekarang 'lebih bijak' dengan bersahur sebelum tidur. Ada sesetengah mereka yang makan dengan banyak pada tengah malam walhal semasa berbuka tadi, sudah banyak makanan yang dihabiskan. Tidakkah mereka tahu apabila makan dengan banyak, mereka akan menjadi lebih letih dan penat? Renung-renungkanlah. Makan tanpa henti akan menyebabkan perut tidak berasa selesa dan akan mengundang penyakit lain seperti sakit perut dan sebagainya. Perut kita bukanlah seperti robot yang perlu disuruh bekerja setiap masa. Ia juga perlu berehat. Oleh kerana itulah, kita disuruh bersahur awal pagi dan bukannya di tengah-tengah malam seperti yang dilakukan oleh sesetengah anak muda sekarang. Sikap tersebut perlu diubah kerana makan di tengah malam tidak digalakkan kerana tidak baik untuk kesihatan. Umumnya, masyarakat kita sudah biasa dengan situasi di mana selepas makan, pasti akan mengantuk. Maka, di mana keberkatan bulan Ramadan yang kita cuba lengkapkan apabila kita lena dibuai mimpi daripada bangun di tengah malam untuk beribadah kepada Allah? Fikir-fikirkanlah. Latih anak bersahur Sebagai individu yang lebih dewasa, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak mereka bahawa amalan bersahur sangat penting dan perlu dilakukan pada waktu yang betul, bukan makan sebelum tidur. Banyak keberkatan yang boleh didapati daripada amalan bersahur. Antaranya ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Ia juga memberi kekuatan untuk beribadat dan kecerdasan kepada orang yang berpuasa bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga di siang hari. Berdoa pada waktu sahur juga mempunyai barakah kerana pada waktu itu, rahmat turun dan doa terangkat sekali gus menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan berlapar di siang hari, selain memberi kekuatan beribadat pada siang hari dan pelbagai lagi. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghidupkan bulan yang penuh dengan kemuliaan ini dengan bersahur. Selain itu, ini adalah peluang terbaik bagi kita melatih diri bangun pada awal pagi kerana pada bulan biasa, kita akan terus tidur sampai ke subuh. Di samping itu, bagi orang yang bangun sahur, mereka tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk melakukan amal-amal saleh seperti berzikir, membaca al-Qur'an dan bersembahyang sunat tahajud dan sunat witir. Ambillah peluang ini untuk mengubah dan memperbaiki diri. Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita insan yang bertakwa di sisi-Nya.

13 September 2008

MADRASAH RAMADHAN




Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. (Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi)




Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah: Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah (umat Islam yang majoriti/sawadul a'zhom). (Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi)

Daripada Abi Soleh Az-Zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya." (Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

MUTIARA MENAWAN DARIPADA HADIS-HADIS KELEBIHAN RAMADHAN

1. Semua hadis menceritakan tentang kelebihan Ramadhan yang merupakan sebagai suatu simbol kecintaan Allah s.w.t. kepada para hambaNya.

2. Janji limpahan rahmat dan keampunan yang meluas di bulan Ramadhan, merupakan antara motivasi daripada Allah s.w.t. buat para hambaNya, dalam rangka untuk memperbaiki hubungan kehambaan mereka kepada Allah s.w.t. di samping menjadi pemangkin bagi menyuntik semangat baru bagi para hambaNya untuk terus berjalan menujuNya.

3. Ramadhan menjanjikan suatu madrasah tarbiah yang bermakna buat para hamba Allah s.w.t., kerana di dalamnya, para hambaNya dapat melatih diri dalam menjaga niat dan keikhlasan kepadaNya dalam setiap amalan.

4. Hadis-hadis ini juga menceritakan tentang kepentingan keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadah, kerana amalan hanya diterima dengan niat yang ikhlas.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Begitu juga, ia mampu menghapuskan segala dosa jika seseorang bertaubat dengan taubat nasuha, seterusnya melakukan ketaatan sebagai ganti (kaffarah) bagi dosa-dosa tersebut.

6. Puasa bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata, tetapi menahan seluruh anggota daripada kemaksiatan dan kedurhakaan kepadaNya.

7. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi di sisi Allah s.w.t..

8. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa bersama-sama dengan keluarga dan sahabat handai yang tersayang, dan kegembiraan apabila bertemu Allah s.w.t. kelak. Sememangnya, dalam berbuka puasa itu, kegembiraan seseorang hamba bukanlah kerana dapat memenuhi syahwat makannya setelah lama menahannya, tetapi kegembiraan hakiki seseorang hamba sewaktu berbuka puasa ialah, apabila melihat hidangan di hadapannya, dengan penuh syukur, dengan merasakan, seluruh rezeki tersebut merupakan suatu tanda kecintaan Allah s.w.t. kepadaNya.


Adapun kegembiraan ketika bertemu dengan Allah s.w.t., laksana kegembiraan sang kekasih yang sentiasa menyimpan rindu untuk bertemu dengan kekasihnya, yang telah lama berjauhan di perantauan.

Semoga puasa kali ini dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam dalam usaha untuk memperbaiki hubungan diri dengan Allah s.w.t..

Wallahu a'lam...

05 September 2008

10 ADAB PUASA DAN SOLAT TARAWIH

Sebagai panduan dalam menunaikan ibadah puasa
Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang akan menyempurnakan ibadah tersebut, di antara yang terpenting :
Menjaga lidahnya daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya.
Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syarak dan perkara yang sia-sia.
Mengawal perutnya daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau mengandungi unsur syubhat, ter utama ketika berbuka dan berusaha sedaya upaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: "Apabila kamu berpuasa, maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?" Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.
Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.

Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak dan binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga! (An-Nasai).

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang puasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan.

Sabda Rasulullah s.a.w. : Puasa itu adalah 'perisai', sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya, maka hendaklah dia katakan kepada orang itu : Saya sedang berpuasa. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami keperitan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya akan terkawal, keinginan nafsunya akan berkurangan, hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain.

Penggembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan, memberikan kesan positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut, terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain, sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika munajat dan berzikir kepada-Nya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu pada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Sabdanya : Takungan jelik yang dipenuhkan oleh manusia adalah perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan, maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya (Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: "Sekiranya perutmu kenyang, anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu), tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang."

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus, bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.

Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan ini, bahkan mengambil kesempatan yang ada untuk beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya.

Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini, sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.
Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabdanya : Umatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwaya Ahmad, Bukhari dan Mus-lim).
Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda s.a.w. : Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa, tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat Baihaqi dan ibnu Khuzaimah).
Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, witir dan sebagainya. Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat tarawihnya seperti mana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat tarawih mereka kerana meninggalkan `wajib' solat tersebut seperti, meninggalkan tumakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin cepat dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.

Amalan tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti pada waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya dalam mengerjakan solat tarawih itu sehinggalah selesai sama ada sebanyak 20 rakaat atau pun 8 rakaat.

Sabda nabi s.a.w. : Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman. (An-Nasai).